Home Luar Negara BANTUAN ANTARABANGSA KINI DIBENAR MASUK UNTUK PASCABANJIR ACEH

BANTUAN ANTARABANGSA KINI DIBENAR MASUK UNTUK PASCABANJIR ACEH

BANDA ACEH: Jurucakap Pemerintah Aceh, Muhammad MTA mendedahkan bahawa bantuan antarabangsa untuk mangsa banjir dan tanah runtuh di wilayah itu kini dibenarkan masuk, lapor Kompas.

“Ya benar, bantuan antarabangsa untuk bencana di Sumatera kini boleh masuk,” katanya ketika mengesahkan perkara itu pada Isnin.

Menurut Muhammad, berdasarkan pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri, bantuan antarabangsa yang bersifat bukan inisiatif kerajaan kepada kerajaan (G2G) adalah dibenarkan.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa setakat ini belum ada arahan lanjut berhubung bantuan menerusi G2G.

Sehubungan itu katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa atau organisasi seumpamanya boleh menyalurkan bantuan pascabanjir.

“Namun, ia perlu mematuhi syarat iaitu perlu melaporkan perkara berkenaan terlebih dahulu kepada Badan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (BNPB) dan Badan Tindak Balas Bencana Aceh (BPBA),” katanya.

Beliau menambah bahawa segala bantuan sama ada dalam bentuk barangan atau logistik mesti mematuhi peraturan pelaporan yang ditetapkan oleh agensi pengurusan bencana.

Mengulas berhubung program pemulihan, Muhammad berkata, ia akan diselaraskan antara kerajaan pusat dan pihak berkuasa Aceh

“Ini kerana ia perlu disesuaikan dengan pelan R3P yang akan disusun oleh Pemerintah Aceh di bawah seliaan pemerintah pusat,” katanya.

Muhammad turut memberi jaminan bahawa pelbagai langkah pemulihan pascabencana giat dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan di setiap daerah.

Gabenor Aceh Muzakir Manaf kini mengoptimumkan kunjungan ke daerah yang terjejas bagi mengambil langkah strategik.

Beliau turut berharap semua pihak dapat bersatu tanpa mengira perbezaan demi memastikan proses pemulihan pascabencana ini dapat dipercepat dan dilaksanakan dengan berkesan.

Setakat Ahad lalu, BNPB merekodkan 1,090 orang dilaporkan terkorban dalam bencana yang melanda tiga wilayah, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, manakala hampir 200 orang dilaporkan masih hilang. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here