Home Hiburan SHIHA AKUI GANGGUAN MISTIK, NAMUN TEGAS BUKAN PUNCA KEDAI DITUTUP

SHIHA AKUI GANGGUAN MISTIK, NAMUN TEGAS BUKAN PUNCA KEDAI DITUTUP

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir tidak menolak kemungkinan wujudnya gangguan mistik di cawangan restoran miliknya yang terpaksa ditutup baru-baru ini, namun menegaskan perkara itu bukan punca utama keputusan tersebut dibuat.

Memetik laporan menerusi Berita Harian Shiha berkata, sepanjang mengusahakan perniagaan makanan itu, dia berdepan pelbagai cabaran, termasuk perkara di luar jangkaan yang turut memberi kesan terhadap kesihatan dan emosinya.

“Apabila kita berniaga, perkara sebegini antara cabaran yang perlu dihadapi. Sama ada mahu atau tidak, ia memang wujud. Sebab itu saya tidak boleh duduk lama di kedai kerana ia memberi kesan kepada kesihatan saya.

“Saya sudah cuba berusaha dengan memanggil ustaz, namun saya tidak boleh mengatakan penutupan kedai ini 100 peratus berpunca daripada gangguan mistik. Saya percaya rezeki semua datang daripada Tuhan,” katanya kepada BH Online.

Shiha berkata, pengalaman itu membuka matanya terhadap realiti sebenar dunia perniagaan, termasuk berdepan kejadian aneh yang sebelum ini hanya didengarnya daripada orang lain.

“Ada yang nampak kedai saya tutup sedangkan sebenarnya ia dibuka. Ada pelanggan sudah sampai depan kedai, tetapi melihat kedai seolah-olah tidak beroperasi. Malah, penghantar tong gas juga berkata kedai saya tutup, padahal setiap hari kami buka,” katanya.

Penyanyi lagu Aewo itu turut mendedahkan pernah menemui barangan pelik di dalam dan luar premis perniagaannya, namun memilih untuk tidak menghebahkan perkara itu di media sosial.

“Kami pernah jumpa benda pelik, contohnya dalam pasu bunga. Tapi saya bukan jenis yang suka berkongsi perkara begini. Saya tidak mengatakan sihir sebagai punca utama, sebaliknya menganggap ia satu cabaran untuk saya belajar dan memperbaiki kelemahan dalam menguruskan perniagaan makanan,” katanya.

Shiha berkata, pengalaman itu juga membuatkannya lebih memahami ungkapan ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’, selain mengakui sebelum ini dia sukar mempercayai perkara sedemikian sehingga mengalaminya sendiri.

Bagaimanapun, Shiha menegaskan penutupan cawangan itu dibuat atas faktor pengurusan dan kewangan selepas mendapati lokasi berkenaan gagal mencapai sasaran keuntungan bulanan.

“Dalam perniagaan, kita perlu berani mengambil risiko. Sama ada berniaga nasi ayam atau dalam industri hiburan, semua ada cabarannya. Untuk restoran ini, saya rasa menutupnya adalah keputusan terbaik.

“Memang rugi, tetapi daripada menanggung kerugian lebih besar setiap bulan, lebih baik ditutup dahulu. Sekarang saya sedang mencari lokasi baharu yang lebih strategik,” katanya.

Dalam masa sama, Shiha turut meluahkan rasa terharu apabila menerima sokongan padu daripada peminat serta rakan selebriti selepas mengumumkan penutupan cawangan itu di media sosial.

“Apabila saya umumkan penutupan, banyak mesej dan komen positif diterima. Ada yang beritahu mereka sering membuat pesanan melalui aplikasi penghantaran. Dari situ saya sedar sebenarnya ramai yang menyokong,” katanya.

Terdahulu, Shiha memaklumkan Shiha Zikir Nasi Ayam cawangan Seksyen 7, Shah Alam menamatkan operasi berkuat kuasa 15 Disember lalu.

Shiha memulakan perniagaan nasi ayam pada pertengahan Mac 2023 di Kampung Baru sebelum membuka cawangan kedua di Shah Alam pada Mac tahun lalu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here