DUBAI: Iran mendakwa pemimpin Taliban Afghanistan melanggar perjanjian 1973 dengan menyekat aliran air dari sungai Helmand ke wilayah timur Iran yang gersang, tetapi ia dinafikan Taliban.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri dikendalikan Taliban, Abdul Nafi Takor, menerusi kenyataan berkata, tentera sempadan Iran melepaskan tembakan ke arah Afghanistan di wilayah Nimroz hari ini, diikuti serangan balas.
Beliau berkata seorang di setiap pihak maut, manakala beberapa lagi cedera, walaupun agensi berita rasmi Iran, IRNA kemudian melaporkan dua pengawal sempadan Iran terbunuh serta dua orang awam negara itu cedera.

Sementara itu, IRNA melaporkan, pos sempadan Milak-Zaranj, iaitu lintasan komersial utama, bukannya lokasi kejadian berkenaan, ditutup sehingga diberitahu kelak oleh pihak berkuasa Iran ekoran pertembungan terbabit.
Timbalan Ketua Polis Iran, Qasem Rezaei seperti dilapor IRNA sebelum ini, berkata tentera Taliban tanpa mematuhi undang-undang antarabangsa memulakan tembakan di pusat pemeriksaan Sasoli, menyebabkan tindak balas tegas.
Pengawal sempadan Iran dalam kenyataan berkata, pihaknya ‘melepaskan tembakan hebat yang boleh menyebabkan kematian dan kerosakan serius’, seperti dilaporkan IRNA yang tidak menyatakan butiran lanjut.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Taliban, Enayatullah Khowarazmi pula berkata, berlaku kejadian tembakan sekali lagi di kawasan sempadan daerah Kong dekat wilayah Nimroz hari ini, dilepaskan Iran, menyebabkan konflik meletus..
Sumber: BH Online & REUTERS
Imedikel TV






