Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyerahkan peruntukan sebanyak RM8,600 menerusi bantuan peralatan sekolah kepada 100 anak nelayan yang berdaftar di Bachok.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, bantuan itu diberikan melalui Program Bantuan Anak Nelayan Kembali ke Sekolah dengan kerjasama Petronas Dagang Berhad dan NEKMAT.

“Kita nak kurangkan kos perbelanjaan nelayan kerana mereka sangat terjejas khususnya pada musim tengkujuh kerana tidak dapat turun ke laut, namun mereka perlu membeli peralatan sekolah untuk anak-anak dalam menempuh tahun baru persekolahan yang bakal tiba.
“Kita juga mengagihkan baucer bernilai RM5,000 daripada Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dengan jumlah RM50 setiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Madani Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah, di sini, semalam.
Muhammad Faiz berkata, tiga nelayan dari Tawang dan Bachok turut menerima bantuan peralatan menangkap ikan bernilai RM41,400.
“Antara bantuan itu adalah tiga enjin bot serta barangan keperluan asas dan wang tunai RM500 setiap seorang.
“Kita yakin langkah ini dapat membantu dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh para nelayan, kita sentiasa akan pastikan kebajikan nelayan terjaga selain memastikan sekuruti makanan sentiasa terjamin,” katanya.
IMedikel TV






