Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Pengguna disaran memilih spesies ikan mengikut musim, khususnya pada musim tengkujuh, bagi mengelakkan timbulnya kaedah manipulasi harga yang boleh membebankan pengguna.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, berkata ketika musim tengkujuh, beberapa jenis ikan menjadi sukar diperoleh, sekali gus memberi ruang kepada peniaga untuk menaikkan harga.

“Sumber protein seperti ikan tongkol memang banyak pada bulan empat, lima dan enam, waktu itu ikan menjadi murah, dan pengguna beli la banyak-banyak.
“Bila dah masuk bulan 11 dan 12, dah tiba musim tengkujuh, ikan tongkol kurang jadi makanlah ikan selayang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Madani Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah, di sini, semalam.

Muhammad Faiz berkata, permintaan yang tinggi bagi beberapa spesies ikan boleh memberi peluang kepada peniaga untuk menaikkan harga pasaran ketika itu.
Jelas beliau, bagaimanapun bekalan ikan pada musim tengkujuh sudah mencukupi dengan simpanan sebanyak 300 metrik tan selain bekalan tambahan juga daripada pemain swasta bagi mengimbangi permintaan ikan.
IMedikel TV






