Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Sebuah lori jenis Isuzu terbabas ke dalam Sungai Senduk di Kampung Panglima Bayu, di sini, semalam selepas pemandunya cuba mengelak dua buah motosikal yang memasuki laluannya.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Mohd Haki Hasbullah berkata, kemalangan pada jam 8.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal berkenaan datang dari arah bertentangan dan masuk ke laluan lori ketika memotong sebuah kereta.
“Berdasarkan siasatan awal, lori yang beralamat di Kepala Batas, Pulau Pinang itu dalam perjalanan dari Tanah Merah menuju ke Jeli.
“Pemandunya cuba mengelak daripada bertembung dengan dua motosikal terbabit dengan menekan brek dan membelok ke kiri sebelum terjunam ke dalam Sungai Senduk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Haki berkata, lori berkenaan mengalami kerosakan pada cermin hadapan, bumbung serta bahagian pintu kiri dan kanan yang kemek.
“Ketika kejadian, lori tersebut tidak membawa muatan dan kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain atau kerosakan harta benda awam.
“Pemandu lori turut selamat,” katanya.
Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai ‘rujuk ke majistret’.
IMedikel TV






