Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan beberapa negeri di Semenanjung dan Sarawak susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Amaran yang dikeluarkan pada 12.10 tengah malam, hari ini menyatakan hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor serta beberapa kawasan di Sarawak.
Di Kelantan, kawasan yang dijangka menerima hujan berterusan sehingga hari ini ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Di Pahang, kawasan terlibat meliputi Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala seluruh Terengganu turut berada dalam tahap amaran sama.
MetMalaysia turut menjangkakan hujan berterusan sehingga esok di beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Sementara itu, di Sarawak, kawasan yang terlibat termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah dan Bintulu.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir, supaya peka dengan perkembangan cuaca semasa dan sentiasa merujuk portal rasmi MetMalaysia serta media sosial jabatan itu bagi maklumat terkini.
IMedikel TV






