Home Buletin Semasa REMAJA MAUT DIREMPUH KERETA DI GUA MUSANG

REMAJA MAUT DIREMPUH KERETA DI GUA MUSANG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki berumur18 tahun maut dalam satu kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 6, Jalan Gua Musang–Kuala Lipis, pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam kira-kira 9.00 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 8.50 pagi apabila sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun bersama seorang penumpang dalam perjalanan dari Tanah Puteh menuju ke Bandar Lama, Gua Musang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai melanggar lopak air lalu berpusing dan merempuh sebuah motosikal Yamaha Ego yang datang dari arah hadapan sebelum terbabas ke bahu kanan jalan,”katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata akibat kejadian tersebut, penunggang motosikal tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,”katanya.

Sementara itu, menurutnya penumpang kereta Proton Persona mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan menerima rawatan lanjut.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan,”katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here