Home Hiburan ISTERI NUBHAN DAPAT HAK JAGAAN TIGA ANAK

ISTERI NUBHAN DAPAT HAK JAGAAN TIGA ANAK

SHAH ALAM: Memetik laporan menerusi Berita Harian, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini memutuskan hak jagaan kekal (hadanah) bagi tiga anak penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, diserahkan kepada isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek.

Peguam Syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata ketetapan itu dicapai hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak selepas melalui proses sulh.

“Ibu diberikan hak jagaan kekal, manakala bapa (Nubhan) diberikan hak lawatan dua kali sebulan, iaitu pada minggu pertama dan ketiga.

“Bagi Aidilfitri dan Aidiladha pula, giliran jagaan akan dibuat secara bergilir seperti kebiasaan.

“Tiada lagi isu yang perlu dipertikaikan. Semua terma persetujuan telah direkodkan dan selepas ini hanya perintah mahkamah yang dipatuhi,” katanya ditemui di perkarangan mahkamah, di sini, hari ini.

Menurut Akberdin, persetujuan itu dimeterai secara harmoni dalam prosiding sulh pada pagi tadi.

“Perjanjian telah dikemukakan kepada pegawai sulh dan memandangkan semua terma sudah dipersetujui, ia diterima dan direkodkan sebagai persetujuan rasmi.

“Hakim kemudian mengesahkan perjanjian itu sebagai perintah mahkamah,” katanya.

Mengulas faktor yang mendorong persetujuan Nubhan, Akberdin menjelaskan bahawa undang-undang lazimnya memihak kepada ibu bagi anak yang masih kecil.

“Secara prinsip, anak-anak kecil biasanya diletakkan di bawah jagaan ibu. Itu kedudukan undang-undang yang mantap,” katanya.

Terdahulu, Nubhan memfailkan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap tiga anaknya iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada September lalu.

Nubhan memfailkan dua tuntutan iaitu hadanah kekal dan interim.

Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here