BANGKOK: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, seorang wanita berusia 65 tahun yang disangka meninggal dunia malam sebelumnya ditemukan masih hidup di dalam kerandanya, hanya beberapa saat sebelum upacara pembakaran mayatnya dijadualkan berlangsung di daerah Bang Yai, Nonthaburi pada Ahad.
Memetik laporan Bangkok Post, kuil Wat Rat Prakongtham menyiarkan secara langsung insiden itu.
Sebelum ini, waris mangsa membawa keranda wanita itu untuk upacara pembakaran mayat di bawah program sokongan pengebumian “Final Home” kuil berkenaan.
Ketika kakitangan kuil membuka keranda bagi persiapan terakhir sebelum proses pembakaran dimulakan, mereka menyedari wanita itu bergerak.
Pergerakan secara serta-merta itu mengesahkan bahawa wanita berkenaan masih hidup.
Adik lelaki wanita itu memberitahu media bahawa keluarga mereka melakukan perjalanan dari Phitsanulok selepas dimaklumkan oleh pegawai tempatan bahawa kakaknya meninggal dunia.
“Saya sudah menjaga kakak saya selama tiga tahun. Pegawai memberitahu kami bahawa dia sudah meninggal dunia. Semua dokumen sudah disiapkan, jadi kami menempatkannya di dalam keranda dan membawanya ke kuil untuk pembakaran mayat,” katanya.
Kakitangan kuil berkata, mereka terkejut apabila membuka keranda dan melihat wanita itu menunjukkan tanda-tanda masih hidup.
Ketua sami segera mengarahkan supaya wanita itu dihantar ke hospital.
Beliau turut memberi jaminan kepada keluarga bahawa pihak kuil akan menanggung semua perbelanjaan perubatan.
Seorang doktor kemudian mengesahkan bahawa wanita itu tidak menunjukkan sebarang tanda henti jantung atau kegagalan pernafasan.
Sebaliknya, dia disahkan mengalami hipoglisemia teruk (paras gula dalam darah terlalu rendah) yang kritikal.
Wanita itu menerima rawatan segera dan diletakkan di bawah pengawasan perubatan rapi. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






