Home Buletin Semasa CALON SPM DI PPS SEDIA DUDUKI SPM ESOK

CALON SPM DI PPS SEDIA DUDUKI SPM ESOK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang tetap bersemangat melakukan persediaan terakhir menjelang peperiksaan yang bermula esok.

Walaupun terpaksa meninggalkan rumah akibat banjir, mereka memanfaatkan ruang yang ada untuk mengulang kaji pelajaran.

Kedua-dua pelajar itu berkata situasi di PPS tidak menghalang mereka meneruskan fokus ulangkaji bagi menghadapi peperiksaan penting berkenaan.

Nik Muhammad Idham Abdul Rahim, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji berkata dia sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan, namun perasaan itu bertukar apabila ujian melanda di saat akhir.

“Perasaan saya ketika ini berdebar untuk menjawab peperiksaan sebab ujian datang dengan tiba-tiba. Saya tidak sangka kawasan rumah banjir dan terpaksa berpindah ke PPS.

“Tetapi saya reda dengan keadaan. Sebelum ini saya sudah bersiap sedia untuk mengulang kaji pelajaran, tetapi petang Sabtu ibu saya bagitahu kami sekeluarga perlu berpindah.

“Saya belum bersedia namun terpaksa berpindah ke PPS. Buku-buku pun tidak sempat kemas hanya sempat kemas pakaian untuk datang ke sini,”katanya.

Menurutnya guru-guru di sekolah sentiasa memberi soalan peperiksaan serta nota melalui atas talian untuk mengulang kaji pelajaran.

Nik Muhammad Idham berkata air di kawasan rumahnya paras pinggang hingga memaksa mereka sekeluarga berpindah ke PPS.

Katanya dia berharap dapat hadir ke sekolah esok untuk menduduki peperiksaan bertulis.

“Kalau boleh pergi sendiri ke sekolah memang saya akan lakukan, tetapi kalau masih banjir saya perlu maklum kepada guru dan mereka akan datang ambil,”katanya.

Sementara itu Mohd Faris Aiman Mohd Hazri dari SMK Tanjong Mas berkata dia sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan esok.

Bagaimanapun katanya dia tidak sempat mengambil buku kerana terpaksa berpindah ke PPS disebabkan paras air di kawasan rumahnya sudah mencapai paras pinggang.

Katanya bagi calon SPM di PPS berkenaan, mereka menyediakan sebuah kelas untuk mengulang kaji pelajaran melalui telefon pintar.

“Semua buku saya tidak sempat ambil dan bawa ke sini tetapi masih boleh mengulang kaji pelajaran melalui telefon.

“Guru-guru juga sentiasa berkongsi nota dan soalan melalui telefon,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here