Home Buletin Semasa TERPAKSA BUANG TIKAR GETAH, AIR MAKIN MELIMPAH DALAM RUMAH

TERPAKSA BUANG TIKAR GETAH, AIR MAKIN MELIMPAH DALAM RUMAH

317
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Paras air yang meningkat sehingga memasuki ruang dapur dan ruang tamu memaksa Mohd Yuzwan Mohd Yasir, 38, sekeluarga membuang tikar getah dan mengalihkan barangan penting ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.

Mohd Yuzwan dari Kampung Padang Bongor, Banggu, di sini, berkata, beberapa perabot turut dipindahkan termasuk sebuah sofa yang diletakkan di bahagian rumah yang lebih tinggi selepas air mula masuk sekitar 7.30 pagi tadi.

“Air naik mendadak sampai paras buku lali di ruang dapur.

“Kalau hujan makin lebat, memang tidak mustahil air naik lagi,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di kediamannya di sini, hari ini.

Menurutnya, lima ahli keluarga termasuk ibu bapanya tinggal di rumah berkenaan dan keadaan menjadi lebih meriah apabila kanak-kanak menjadikan air yang melimpah masuk sebagai pesta dengan bermain dan berenang di ruang dapur.

“Ibu saya, Haminah Yusof, 68, bersarapan pagi sambil air sedang memenuhi sebahagian ruang rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Zaharam Ya, 62, berkata hampir keseluruhan ruang rumahnya turut dinaiki air hujan sehingga tiada tempat selamat untuk meletakkan sofa atau perabot lain.

“Kami letak sofa atas batu blok kecil supaya kaki perabot tidak kena air sebab risau cepat rosak. Hendak solat pun susah sebab semua bilik dah dipenuhi air walaupun parasnya hanya setakat buku lali,” katanya.

Zaharam berkata, dia tinggal bertiga bersama suaminya Mohd Nasir Daud, 65, dan anak mereka Iklima Mohd Nasir, 25, dan mengakui situasi kali ini lebih buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kebiasaannya air naik juga, tetapi tidak seteruk ini, atap pun banyak bocor,” katanya.

Namun demikian, katanya, mereka sekeluarga belum pernah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah itu masih selamat untuk didiami.”

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here