Home Buletin Semasa IMEDIKEL TAWAR PELUANG PELAJAR UMK TEROKA BIDANG PENGILANGAN OEM

IMEDIKEL TAWAR PELUANG PELAJAR UMK TEROKA BIDANG PENGILANGAN OEM

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) membuka peluang luas kepada pelajar serta alumni Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk meneroka bidang pengilangan kontrak (OEM) dan perniagaan berjenama sendiri.

Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Korporat IMedikel, Firdaus Mohamed Yusoff, berkata pihaknya baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Pusat Pendidikan dan Pembangunan Keusahawanan (CEED), Universiti Malaysia Kelantan Entrepreneurship Institute (UMKEI) bagi membincangkan bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan.

“Kerjasama ini membuka ruang luas dalam aspek pendidikan, keusahawanan dan pembangunan industri, khususnya kepada pelajar serta alumni UMK.

“Kedua-dua pihak komited memperkukuh jaringan antara industri dan akademik bagi melahirkan pelapis usahawan muda yang berdaya saing serta mampu menjana peluang ekonomi melalui kolaborasi strategik,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Rencana Usahasama di UMK Kampus Kota, di sini, baru-baru ini.

Katanya kerjasama itu akan menjadi platform penting dalam membentuk usahawan muda UMK yang inovatif, kompetitif dan berdaya tahan, selaras dengan misi universiti untuk memperkasa ekosistem keusahawanan.

Menurutnya, IMPHB dan UMK sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merangka pelan tindakan kolaborasi strategik yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh 2025 hingga 2027.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here