Home Buletin Semasa JKDM KELANTAN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP LEBIH 80 TAN BERAS DARI NEGARA JIRAN

JKDM KELANTAN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP LEBIH 80 TAN BERAS DARI NEGARA JIRAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 80.5 tan metrik beras dari negara jiran membabitkan nilai RM304,290 termasuk cukai di dua operasi berasingan di Jeli dan Kuala Krai.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata dalam operasi tersebut, pihaknya berjaya menahan dua lori treler yang membawa 1,610 guni beras seberat 80,500 kilogram, selain menahan seorang pemandu lori bagi membantu siasatan.

“Serbuan pertama dilakukan pada 8 September lalu di Kampung Berdang, Sungai Sam, Dabong, Jeli, membabitkan 41 tan metrik beras manakala serbuan kedua dijalankan pada 12 Oktober lalu di Kampung Lata Rek, Kuala Krai membabitkan 39.5 tan metrik beras.

“Nilai rampasan beras adalah RM217,350 manakala cukai terbabit adalah RM86,940 serta nilai kenderaan RM380,000. Keseluruhan rampasan berjumlah RM684,290,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata modus operandi adalah dengan menggunakan mod darat iaitu kenderaan motorlori dan kenderaan penumpang untuk mengangkut beras seludup dari pangkalan haram.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

Sehubungan dengan itu orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain- lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here