Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah dalam Op Taring Wawasan apabila menahan seorang lelaki tempatan di belakang sebuah premis di Kampung Tok Likong, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan laman Facebook Rasmi PGA, suspek berusia 39 tahun itu ditahan sekitar jam 1.30 pagi selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.
“Ketika serbuan dijalankan, suspek bertindak cuba melarikan diri dan membuang bungkusan yang dibawanya sebelum berjaya diberkas oleh anggota PGA.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan plastik mengandungi 598 biji pil Yaba (pil kuda) yang dianggarkan bernilai RM13,970, termasuk motosikal yang digunakan suspek,”menurut kenyataan itu.
Suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
IMedikel TV






