Home Buletin Semasa TIGA LELAKI DITAHAN KES SAMUN WARGA EMAS DI NILAM PURI

TIGA LELAKI DITAHAN KES SAMUN WARGA EMAS DI NILAM PURI

324
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes samun seorang wanita warga emas di Nilam Puri, di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 November bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.15 pagi pada Sabtu lalu ketika mangsa berumur 69 tahun selesai membeli ikan dan berada di tepi jalan untuk melintas kemudian mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal.

“Kira-kira jam 8.44 pagi, seorang wanita membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berkenaan kejadian ragut.

“Dua lelaki berkenaan menaiki motosikal jenis Honda EX5 menghampiri mangsa sebelum pembonceng turun dan menarik beg duit dari tangan wanita itu.

“Semasa kejadian mangsa cuba mendapatkan semula beg berkenaan namun terjatuh di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM50.

Bertindak atas maklumat, Ketua Balai Polis Nilam Puri bersama pasukan anggota menahan seorang lelaki tempatan pada Isnin lalu kira-kira jam 7.53 malam.

“Suspek adalah pemilik motosikal yang digunakan semasa kejadian. Hasil siasatan lanjut terhadap suspek membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan yang dipercayai turut terbabit dalam kes tersebut.

“Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang digunakan ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek yang berusia antara 20-an hingga 30-an positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya setakat ini kes masih dalam siasatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here