Home Buletin Semasa ISTERI SARAT MENGANDUNG ENAM BULAN TABAH JAGA SUAMI STROK

ISTERI SARAT MENGANDUNG ENAM BULAN TABAH JAGA SUAMI STROK

620
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Dalam usia yang masih muda, seorang wanita tidak menyangka kehidupannya akan berubah sekelip mata apabila suaminya, Wan Mohamad Amzar Wan Ahmad, 26, diserang strok secara tiba-tiba ketika sedang menggunting rambut pelanggannya pada 19 Julai lalu.

Nur Izzati Farhana Sazali, 23, berkata sejak hari itu, tanggungjawab sebagai isteri bertukar menjadi penjaga sepenuh masa.

Setiap detik dihabiskan untuk menguruskan suami yang kini terlantar tanpa sebarang komunikasi.

Menceritakan semula detik itu, Nur Izzati Farhana berkata dia mula perasan keadaan suaminya beberapa hari sebelum itu, dalam keadaan lemah.

Namun, dalam fikirannya kemungkinan suaminya itu keletihan disebabkan bekerja sebagai tukang gunting berhampiran rumah sewa mereka di Kampung Repek, di sini.

“Pada hari kejadian, kami berjanji untuk makan malam bersama, jadi selepas hantar dia ke kedai gunting, saya pergi membeli barang untuk memasak.

“Namun pulang dari pasar raya, terdetik dalam hati untuk singgah di kedainya sebab jarak rumah ke kedai dekat sahaja kurang 100 meter.

“Biasa saya hanya singgah kalau tiada kunci rumah, tetapi malam itu saya secara tiba-tiba ingin singgah, sebaik sampai saya tengok ramai orang dan ada memaklumkan yang suami saya jatuh. Ingatkan macam jatuh biasa sahaja.

“Memandangkan suami saya sebelum ini ada penyakit athsma, jadi saya mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital, masa itu dia sudah tidak sedarkan diri,”katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di rumahnya, di sini, baru-baru-baru ini.

Nur Izzati Farhana berkata dalam kekalutan itu, dia memaklumkan kepada doktor yang merawat suaminya untuk menyelamatkan nyawa suaminya jika masih diberi peluang.

Menurutnya, doktor memaklumkan yang jantung suaminya sudah terhenti semasa dalam perjalanan ke hospital dan keadaan oksiden tidak sampai ke otak.

Katanya doktor sudah melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) selama enam minit bagi menyelamatkan nyawa suaminya.

Pada awalnya. Nur Izzati Farhana berkata dia berasa berat hati untuk pihak hospital mengambil air tulang belakang suaminya, namun selepas perbincangan bersama keluarga, dia pasrah.

“Doktor memaklum untuk mengambil air tulang belakang suami bagi mengenal pasti penyakitnya.

“Sebaik keputusan keluar doktor memaklukan ada virus kuman, otak bengkak dan kerosakan saraf otak,”katanya.

Menurut Nur Izzati Farhana, dia menjaga suaminya di Unit Rawatan rapi (ICU) selama hampir tiga bulan sebelum dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Taman Kenerak Jaya, Lati.

Kini, dia bukan hanya menggalas tanggungjawab sebagai isteri namun bertindak sebagai jururawat kepada suami tersayang.

Rutin hariannya setiap hari adalah memberi susu setiap tiga jam, membersihkan kahak, menukar lampin, dan mengelap badan agar suaminya sentiasa selesa.

Pasangan muda itu sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga. Namun, ujian datang seiring dengan rezeki yang tidak disangka apabila dirinya disahkan mengandung anak pertama beberapa hari sebelum kejadian itu berlaku.

Menurut Nur Izzati Farhana, kitaran haidnya yang tidak teratur membuatkan dia tidak menyedari kehadiran zuriat itu sehingga usia kandungan mencecah dua bulan.

Lebih memilukan, sehari sebelum mereka berdua merancang untuk ke klinik bagi membuka Rekod Kesihatan Ibu atau buku pink, suaminya rebah ketika bekerja dan terus tidak sedarkan diri.

“Dia orang pertama yang teruja sebaik mendapat tahu saya mengandung. Dia juga yang membeli alat uji kehamilan.

“Bukan itu sahaja, sebaik dia tahu saya mengandung, dia terlalu menjaga saya dan mengajak saya setiap hari ke klinik untuk melihat kandungan walau masih terlalu awal usia kandungan itu bahkan teruja untuk mendapatkan anak lelaki dan mencari nama,”katanya.

Nur Izzati Farhana yang kini sarat enam bulan berkata selepas mendapat tahu akan bergelar seorang bapa, dia bekerja lebih keras dan kemungkinan juga itu adalah salah satu asbab atau punca suaminya jatuh tidak sedarkan diri.

Kini, setiap kali menatap wajah suaminya, Nur Izzati Farhana memujuk diri agar terus kuat demi zuriat yang bakal lahir tidak lama lagi.

“Saya berharap suami saya akan sedar dan pulih, boleh hidup bersama dan menjaga anak bersama-sama.

“Saya juga berharap agar Allah memberi saya kekuatan, tidak putus asa dalam menjaga suami saya,”katanya.

Kos penjagaan Amzar semakin meningkat saban minggu kerana perlu menampung pembelian susu khas, alat dressing, dan lampin dewasa.

Nur Izzati Farhana bagaimanapun sudah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban.

Sementara itu, ibu kepada Amzar, Wan Pauziah Wan Harun,64, turut menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai menantu yang cekal dan sabar dalam menghadapi dugaan berat itu.

“Saya bersyukur kerana menantu saya menjaga anak saya sepenuh hatinya. Sebagai ibu saya mendoakan anak saya sembuh seperti sebelum ini.

“Sekurang-kurangnya dia boleh melihat dan mengazankan anak yang bakal lahir nanti,”katanya.

Bagi Nur Izzati Farhana, setiap hari adalah perjuangan antara penat dan sabar. Namun kasih terhadap suami menjadi sumber kekuatan yang tidak pernah surut.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Bank: 7643496322 (Nur Izzati Farhana Sazali).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here