Home Hiburan MASIH BELAJAR KUATKAN DIRI SELEPAS PERPISAHAN – REBECCA

MASIH BELAJAR KUATKAN DIRI SELEPAS PERPISAHAN – REBECCA

314
0

KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Rebecca Nur Al-Islam, mengakui sedang melalui fasa sukar dalam hidup selepas rumah tangga yang dibina lebih sedekad berakhir, namun tetap bertekad untuk bangkit demi tujuh cahaya mata yang menjadi sumber kekuatannya.

Memetik laporan Berita Harian, Rebecca berkata, dia masih menyesuaikan diri dengan perubahan hidup dan berusaha mencari semula kekuatan dalaman selepas menempuh tempoh penuh ujian.

“Sejujurnya, saya masih dalam fasa ‘down’. Baru-baru ini sahaja saya mula keluar rumah semula dan jumpa orang. Saya banyak mendekatkan diri dengan perkara yang mengingatkan saya kepada dunia kekal, bukan yang sementara,” katanya ditemui pada majlis di Amber Flagship, di sini, semalam.

Menurutnya Rebecca, dia bukan menjauhkan diri kerana takut disoal, sebaliknya masih cuba menenangkan diri selepas apa yang berlaku.

“Saya bukan takut orang tanya, tapi saya sendiri belum kuat. Hari pertama saya keluar rumah ialah waktu majlis perkahwinan Fattah dan Amira. Itu pun saya paksa diri,” ujarnya.

Menyedari tanggungjawab besar sebagai ibu kepada tujuh anak berusia antara dua hingga 17 tahun, pelakon Awak Suka Saya Tak? itu sedar dia perlu kembali kuat dan meneruskan kehidupan.

“Saya kena bangun balik. Bila tengok wajah anak-anak, saya rasa kuat. Mereka penguat saya, sebab saya tak ada pilihan lain selain teruskan hidup untuk mereka,” katanya.

Rebecca berkata, walaupun tidak menyangka perkahwinan yang dibina selama hampir dua dekad menemui noktah, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan enggan membuka kisah yang boleh mengaibkan mana-mana pihak.

“Mungkin sampai di situ sahaja jodoh kami. Saya terima dengan hati terbuka. Hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan dengan perkara negatif. Saya dah reda dan ikut sahaja apa yang Allah tentukan,” katanya.

Rebecca juga tidak mahu memberi nasihat kepada wanita lain kerana berpendapat setiap orang melalui ujian berbeza.

“Saya bukan siapa-siapa untuk nasihatkan orang. Saya pun dulu impikan perkahwinan kekal hingga ke syurga, tapi Allah aturkan lain. Jadi, saya teruskan hidup dan doakan yang baik-baik untuk diri dan bekas suami,” katanya.

Mengulas mengenai anak-anak, Rebecca bersyukur mereka kini semakin memahami situasi keluarga dan masih mengekalkan hubungan baik dengan bapa mereka.

“Alhamdulillah, anak-anak dah boleh terima. Mereka masih berjumpa ayah dan saya juga kadang bertemu bekas suami. Kami tidak bergaduh, malah menyelesaikan segala urusan dengan baik,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya, Rebecca tidak menolak tawaran lakonan, namun lebih selektif terutama dari segi lokasi penggambaran memandangkan fokus utama kini ialah anak-anak.

“Saya okay saja kalau ada tawaran, tapi saya akan pilih watak dan lokasi yang sesuai. Hidup saya dah banyak berubah, jadi saya kena sesuaikan dengan tanggungjawab sekarang,” ujarnya.

Untuk rekod, Rebecca berkahwin dengan Datuk Norazam Sulaiman pada 14 Januari 2011. Pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata dan membesarkan seorang anak angkat, Nor Adam Daniel, kini berusia 16 tahun. Mereka dilaporkan berpisah sejak Mei lalu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here