Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Sebanyak sembilan ekor lembu ditangkap Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) selepas didapati berkeliaran bebas tanpa pengawasan pemilik di sekitar Taman Awam Bukit Gedombak, di sini, pada Rabu.
Menurut kenyataan MDPP, operasi tangkapan yang dijalankan sekitar jam 9.30 pagi itu membabitkan seramai 10 anggota MDPP menerusi Operasi Tangkapan Haiwan Rayau.
“Operasi ini disertai tujuh anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan, tiga anggota dari Jabatan Pelesenan dan Persekitaran, dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh,” jelas kenyataan itu.
MDPP memaklumkan, tindakan tersebut diambil bagi menangani masalah haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran bebas tanpa kawalan, yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya dan orang awam.
“Kehadiran haiwan rayau seperti lembu bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah boleh menyebabkan kemalangan maut serta kerosakan harta benda,” katanya.
MDPP turut mengingatkan semua pemilik ternakan agar bertanggungjawab dan memastikan haiwan peliharaan tidak dilepaskan sesuka hati tanpa pengawasan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemilik yang cuai dan mengabaikan aspek keselamatan awam.
“Operasi tangkapan haiwan rayau akan diteruskan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






