Home Buletin Semasa PENIAGA MUDA KEKALKAN KUIH TOPI SEBAGAI PILIHAN RAMAI

PENIAGA MUDA KEKALKAN KUIH TOPI SEBAGAI PILIHAN RAMAI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Aroma harum kuih tradisional topi yang digoreng panas-panas di gerai kecil berhampiran Masjid Muhammadi, di sini, menjadi tarikan utama pelanggan setiap pagi hasil tangan pengusaha muda berusia 28 tahun, Mohamad Syahmi Ibrahim.

Biarpun berdepan persaingan dengan pelbagai juadah moden, kuih topi tradisional itu kekal mendapat tempat di hati pelanggan sehingga 1,500 biji terjual setiap hari.

Katanya, permintaan bukan sahaja untuk juadah pagi tetapi juga sebagai hidangan bagi majlis perkahwinan, tahlil dan sebagainya.

“Alhamdulillah, kuih tradisional ini masih mendapat sambutan, setiap pagi sampai petang selalu ada pelanggan datang beli.

“Setiap hari, kita bawa sebanyak lima tong bancuhan yang dihasilkan di rumah, kemudian digoreng di sini, dan setiap hari kita dapat buat dan jual lebih 1,500 biji kuih topi,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di gerainya, berdekatan Masjid Muhammadi, di sini, pada Rabu.

Mohamad Syahmi yang memulakan operasi seawal jam 6 pagi hingga 3 petang berkata, penghasilan kuih topi memerlukan ketelitian, terutama pada suhu minyak sekitar 180 darjah Celsius bagi memastikan bentuk ‘topi’ terbentuk sempurna di permukaannya.

“Kalau suhu tak cukup panas, kuih takkan naik dan tak jadi. Kami guna 24 kuali kecil, goreng satu-satu selama seminit setiap biji,” katanya.

Katanya lagi, konsep jualan yang menekankan penyediaan kuih panas menjadi daya tarikan utama pelanggan.

“Biasanya kuih ni kalau di pasar dah sejuk, tapi saya nak orang rasa nikmat makan kuih topi yang masih panas, baru keluar dari kuali,” katanya.

Dengan harga RM2 bagi tiga biji, kuih topi itu hasil resipi turun-temurun itu dibuat menggunakan tepung beras yang direndam lima jam sebelum diproses.

Menariknya, dia kini dalam perancangan untuk memperkenalkan variasi baharu menggunakan gula melaka, selain mengekalkan rasa asal menggunakan gula putih.

Menurutnya, nama kuih itu diilhamkan daripada perkataan ‘So-oh’, yang sering digunakan oleh orang lama di negeri ini untuk menggambarkan rasa kenyang selepas menikmati beberapa biji kuih.

“Nama So-oh ini pun diambil sebab orang makan tiga biji pun dah kenyang, jadi saya jenamakan kuih topi jenama itu,” katanya.

Sebagai usahawan muda, Mohamad Syahmi berharap generasi baharu tidak memandang sepi warisan kuih tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat tempatan.

“Saya harap kuih topi terus kekal relevan, bukan sekadar nostalgia, tapi juga sumber rezeki anak muda,” katanya.

Kami di IMedikel TV menasihatkan orang ramai agar menikmati kuih tradisional secara sederhana memandangkan ia tinggi gula dan digoreng minyak panas, bagi menjaga kesihatan terutama bagi mereka yang berisiko menghadapi penyakit seperti diabetes dan kolesterol tinggi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here