Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tindakan tegas Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) terhadap penjaja tanpa lesen membuahkan hasil apabila tiga penjaja dikenakan kompaun, dua notis amaran dikeluarkan dan pelbagai peralatan perniagaan disita dalam Operasi Bersepadu Penjaja Jalanan 1.0 yang dijalankan pada malam Selasa lalu.
Antara barangan yang disita termasuk 23 unit kerusi, enam unit meja makan, sebuah khemah bersaiz 10’x10’, dan satu tong gas, manakala dua kompaun turut dikeluarkan terhadap pengendali makanan yang tidak menjalani suntikan kesihatan serta gagal mempamerkan kad suntikan Typhoid seperti diwajibkan di bawah peraturan kesihatan makanan.
Menurut kenyataan di laman Facbeook MPKB-BRI operasi ini dilaksanakan secara berkala dan hasil aduan awam, khususnya membabitkan isu seperti gangguan lalu lintas akibat penjaja di bahu jalan, peniaga menggunakan rizab jalan untuk membuka ruang makan.

“Bukan itu sahaja ia turut membabitkan isu kebersihan dan pembuangan sisa makanan penggunaan kaki lima premis sebagai ruang niaga tanpa permit dan struktur jualan kekal di atas rizab jalan yang mencacatkan pemandangan serta mengganggu landskap bandar,”menurut kenyataan itu.
Operasi tersebut bermula jam 8.00 malam hingga 10.40 malam itu diketuai Pegawai Tadbir Pelesenan Nurul Ain Najwa Mohamad Suhami, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja, Faezah Muhamad, serta tiga anggota pengiring.
Ia turut menggabungkan kekuatan tujuh anggota Penguatkuasa dan empat anggota Kesihatan Awam MPKBBRI, masing-masing diketuai Pembantu Penguatkuasa, Haswadi Yaakob dan Pembantu Kesihatan Awam, Mohd Hisyamuddin Seman.
MPKB-BRI menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan itu bukan sekadar untuk menghukum, tetapi bagi mendidik para peniaga supaya lebih peka terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan bandar serta mematuhi Undang-Undang Kecil Penjaja 1986.
MPKB-BRI turut menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi seumpama itu dari semasa ke semasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang berdegil menjalankan perniagaan tanpa lesen, gagal menjaga kebersihan atau menggunakan kawasan awam secara haram,”menurut kenyataan itu.
Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja turut menyeru para peniaga agar memohon lesen menjaja yang sah di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 1986 bagi memastikan aktiviti penjajaan dijalankan secara teratur, selamat dan mengikut undang-undang.
MPKBBRI percaya bahawa kemajuan sesebuah bandar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga disiplin serta tanggungjawab warganya dalam memelihara kebersihan dan ketertiban awam.
“Majlis beriltizam memastikan Kota Bharu kekal sebagai Bandar Raya Islam yang bersih, indah dan sejahtera untuk semua,”menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






