Home Sukan HAKIM DANISH KECEWA GAGAL TAMAT PERLUMBAAN SULUNG MOTO3

HAKIM DANISH KECEWA GAGAL TAMAT PERLUMBAAN SULUNG MOTO3

272
0

SEPANG: Penampilan pertama Hakim Danish Ramli di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 menerusi tiket wild card berakhir selepas dia gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, masalah teknikal yang dihadapi jenteranya berbaki lima pusingan ketika sedang bersaing merebut kedudukan ke-10 meranapkan impian pelumba negara berusia 18 tahun itu serta penyokong yang menyaksikan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Hakim Danish yang bermula dari petak ke-12, pada mulanya dilihat berpeluang untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

Pelumba kelahiran Terengganu itu menunjukkan prestasi meyakinkan sepanjang minggu ini terutamanya pada sesi latihan yang menyaksikannya terus layak ke sesi Kelayakan 2 (Q2).

Perlumbaan yang dipendekkan daripada 15 kepada 10 pusingan hari ini dimenangi oleh Taiyo Furusato dari Honda Team Asia yang juga kemenangan pertamanya di perlumbaan berprestij itu dengan catatan masa 22 minit 03.88 saat (s).

Manakala pelumba FRINSA MT Helmets MSI, Angel Piqueras meraih podium kedua dan Adrian Fernandez (Leopard Racing), ketiga.

Meskipun cemerlang sepanjang minggu ini, Hakim Danish tidak dapat mengetepikan perasaan kecewa gagal untuk menamatkan perlumbaan pada penampilan pertamanya di perlumbaan berprestij itu.

“Secara keseluruhan untuk minggu ini, saya rasa gembira tetapi saya sedikit kecewa sebab tak dapat menghabiskan perlumbaan pertama saya di Kejuaraan Dunia.

“Mungkin saya rasa boleh menamatkan (perlumbaan hari ini) di kedudukan untuk mengutip mata, tetapi saya pun tak boleh nak jangka sebab saya tak menamatkan perlumbaan.

“Apapun sangat gembira sebab dapat bersaing dengan pelumba berkelas dunia lain yang sememangnya sangat laju. Ia memberi pengalaman bermakna kepada saya,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Terdahulu, perlumbaan Moto3 bermula lewat selepas berlaku satu insiden menakutkan antara juara dunia Moto3 yang baru dinobatkan, Jose Antonio Rueda dan Noah Dettwiler semasa sesi ‘sighting lap’.

Dettwiler dilihat menunggang perlahan di tepi trek apabila pelumba Red Bull KTM Ajo, Rueda, melanggar bahagian belakang jentera CIP Green Power itu dengan kelajuan tinggi di laluan keluar selekoh ketiga.

Rueda yang sudah mengesahkan status juara dunia pada GP Indonesia, 5 Oktober lalu dan Dettwiler kemudian diberi rawatan di tepi trek sebelum kedua-duanya dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here