Home Sukan KELANTAN ATASI MELAKA DI KOTA BHARU

KELANTAN ATASI MELAKA DI KOTA BHARU

KOTA BHARU: Kelantan The Real Warriors ceria di laman sendiri selepas berjaya menundukkan Melaka FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu, sebentar tadi.  

Namun, seawal minit ketiga, Melaka terlebih dahulu hampir membuka jaringan menerusi sepakan Muhammad Sharel Fikri Md Fauzi meskipun perlawanan bermula dalam keadaan hujan lebat.

Memetik laporan Berita Harian, berselang empat minit, tendangan Aiman Danish tersasar melepasi gawang tuan rumah selepas gagal memanfaat bola muntah Sharel Fikri.

Kelantan kemudiannya membuat percubaan gol hasil tandukan Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik namun tepat ke penjaga gol Melaka, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa pada minit ke-12.

Minit ke-28, percubaan sepakan jarak jauh Asraff Alifuddin gagal menjelmakan gol buat Kelantan TRW.

Penjaga gol Kelantan, Damyan Damyanov beraksi cemerlang melonjak badan untuk menguis keluar sepakan Nizarruddin Jazi pada minit ke-32.

Kesilapan import Melaka, Onyekachi Ozor tertampan bola ke gawang sendiri selepas terperangkap dengan hantaran lintang Syahir Saiful Nizam membantu meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-37.

Memasuki babak kedua, anak buah K Devan cuba mencari jaringan persamaan namun sepakan cantik Abdul Azim Rahim tersasar ke tepi gawang Kelantan pada minit ke-63.

Danial Haqim menambah derita pelawat dengan jaringan kedua pada minit ke-88.

Kejayaan Kelantan sedikit terencat apabila Azwan Arifin menerima kad merah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia melakukan kekasaran kepada pemain pelawat dan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail memutuskan sepakan penalti buat Melaka sekali gus memberikan pelawat gol saguhati menerusi sepakan penalti Juan Da Silva di hujung permainan. -BH Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here