Home Buletin Semasa PROGRAM RXZ FOREVER LEGEND MAMPU JANA PULANGAN EKONOMI LEBIH RM15 JUTA DI...

PROGRAM RXZ FOREVER LEGEND MAMPU JANA PULANGAN EKONOMI LEBIH RM15 JUTA DI KELANTAN

610
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kelab Pemilik RXZ Kelantan menyasarkan janaan pulangan ekonomi lebih RM15 Juta melalui penganjuran himpunan RXZ Forever Legend pada 6 dan 7 Februari 2026 nanti.

Program selama dua hari berlangsung di RTC Tunjong, di sini bakal menarik kehadiran lebih 50,000 peserta dari seluruh negeri.

Pengerusi Kelab Pemilik RXZ Kelantan, Asmal Azim Hasim berkata, penganjuran itu akan memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan nanti.

Menurutnya jumlah pulangan itu dianggarkan berdasarkan perbelanjaan makan dan minum serta penginapan setiap pengunjung sepanjang dua hari acara tersebut berlangsung.

“Bayangkan setiap seorang pengunjung membelanjakan dalam RM300 selama dua hari berada di Kelantan.

“Kita jangkakan lebih 50,000 pengunjung akan hadir untuk program ini, maka RM15 juta menjana pulangan ekonomi untuk negeri ini mungkin selebihnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran RXZ Forever Legend di Hotel H Elite Tunjong, di sini, pada Isnin.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Portfolio Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Mohd Almidi Jaafar.

 Jelasnya, kehadiran pengunjung dalam jumlah besar secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan hasil ekonomi melalui sektor perhotelan, inap desa, restoran, kedai makan, peruncitan, stesen minyak dan juga perkhidmatan sokongan lain di sekitar Kota Bharu dan Tunjong.

Beliau berkata program itu turut memberi peluang para peniaga kecil dan sederhana yang mengambil peluang untuk menjana pendapatan.

Katanya, acara berkenaan turut menjadi platform mengeratkan ukhuwah sesama penggemar motosikal serta memperkenalkan budaya permotoran secara lebih positif.

 “Program ini dapat membina kerjasama ekonomi setempat dan agar dijadikan satu program yang bermanfaat serta membentuk diri mereka menjadi penunggang motosikal berhemah,” ujarnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here