Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
KOTA BHARU: Pendekatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun ke akar umbi bersama belia dan komuniti dilihat sebagai strategi ampuh dan berkesan dalam memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan kesedaran terhadap bahaya rasuah dalam masyarakat.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata usaha tersebut dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai pendekatan termasuk melibatkan unsur seni dan budaya tempatan agar mesej pencegahan rasuah dapat disampaikan dalam bahasa dan gaya yang lebih dekat dengan rakyat.
Katanya, melalui program seperti Rakan Ekspresi: Unleash Urself@Rakan Muda (Dikir Barat) yang berlangsung di Kelantan, SPRM memanfaatkan elemen hiburan dan kebudayaan bagi menyampaikan mesej integriti kepada golongan belia tanpa menjejaskan nilai pendidikan yang ingin diterapkan.
“Walaupun dalam suasana hiburan dan bergembira, kita selitkan mesej agar anak muda sentiasa beringat bahawa pencegahan rasuah boleh berlaku dalam apa jua situasi, sama ada ketika bersukan, berhibur atau bersosial,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Unleash Urself @ Rakan Muda (Dikir Barat) Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, malam tadi.
Menurut beliau, pendekatan turun ke akar umbi penting bagi memastikan mesej antirasuah tidak hanya disampaikan dalam bahasa formal tetapi menggunakan bahasa dan medium yang mudah difahami masyarakat luar bandar.
“Kita gunakan bahasa orang kampung, misalnya dalam dikir barat, ketika berbalas karut, mesej nasihat tentang menjauhi rasuah boleh disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.
Jelasnya, pendekatan mendidik dari akar umbi selaras dengan inisiatif “Keep Malaysia Clean” yang dilancarkan Perdana Menteri bersempena ulang tahun ke-58 SPRM baru-baru ini, bertujuan mewujudkan negara bersih bukan sahaja dari segi persekitaran, tetapi juga dari sudut nilai dan integriti rakyatnya.
“Kita mahu rakyat Malaysia menjunjung nilai murni dan jujur, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok 25 terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kelantan, Azmin Yusuf berkata, golongan belia dianggap aset negara yang perlu dididik sejak awal agar memahami nilai integriti dan tanggungjawab moral dalam kehidupan seharian.
“SPRM memberi tumpuan kepada pendidikan bermula di peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke universiti. Kita mahu mereka bukan sahaja berilmu tetapi juga memiliki sahsiah dan integriti yang tinggi untuk menjadi ejen perubahan dalam masyarakat,” katanya.
Katanya, kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi pelbagai program kebudayaan dan sukan juga dilihat mampu memperluas jangkauan pendidikan masyarakat mengenai pencegahan rasuah di peringkat negeri dan kebangsaan.
IMedikel TV






