Home Buletin Semasa PELAJAR 14 TAHUN CURI TUMPUAN SEBAGAI WATAK UTAMA TEATER KANAK-KANAK DI KELANTAN

PELAJAR 14 TAHUN CURI TUMPUAN SEBAGAI WATAK UTAMA TEATER KANAK-KANAK DI KELANTAN

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Keberanian dan bakat luar biasa pelajar berusia 14 tahun, Muhammad Salahuddin Muhammad Azman, mencuri perhatian ramai apabila diberi kepercayaan membawakan watak utama dalam pementasan teater kanak-kanak berskala besar yang berlangsung di Kota Bharu malam kelmarin.

Pementasan “Di Mana Putra? Kembara Ilusi Merentas Imaginasi, Fantasi dan Realiti” berlangsung dua malam iaitu malam kelmarin dan semalam di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan mendapat tontonan ramai rakyat Kelantan yang membeli tiket RM7 bagi kanak-kanak, manakala RM10 bagi dewasa.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2, Machang itu, mula menceburi bidang lakonan sejak berusia 10 tahun melalui persembahan sketsa di sekolah sebelum mengembangkan bakatnya ke pentas teater dan produksi televisyen.

“Pada mulanya saya cuma cuba-cuba saja sebab rasa seronok. Lama-lama saya sedar saya ada bakat dan minat dalam teater,” katanya.

Bagi Muhammad Salahuddin, cabaran beraksi dalam teater secara langsung jauh lebih mencabar berbanding berlakon di hadapan kamera kerana memerlukan tumpuan penuh, kawalan vokal dan stamina tinggi.

“Teater ini susah sikit sebab tak boleh silap. Tapi saya suka sebab dapat belajar banyak benda baharu setiap kali berlatih,” katanya yang sudah terbabit dalam enam pementasan teater, dua filem dan beberapa drama televisyen.

Dia yang bercita-cita untuk menyambung pelajaran di Sekolah Seni Malaysia berpesan kepada rakan sebaya agar berani mencuba bidang teater kerana ia mampu membentuk keyakinan diri serta disiplin tinggi.

“Kalau ada minat, cuba dulu. Mungkin ada bakat yang kita sendiri tak tahu,” katanya.

Menurut gurunya, Nik Anita Nik Ahmad, yang juga tenaga penggerak produksi, bakat Muhammad Salahuddin mula terserlah apabila dia kerap memenangi anugerah Pelakon Terbaik Sketsa dan Teater Sekolah sejak empat tahun lalu, sebelum dipilih oleh Aspek sebagai pelakon utama dalam produksi kali ini.

“Muhammad Salahuddin mempunyai daya ingatan dan penghayatan skrip yang sangat baik. Walaupun muda, dia cepat memahami jalan cerita dan mampu memberi ekspresi yang kuat di atas pentas,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here