Home Buletin Semasa KERAJAAN PERLU BANGKIT PERKUKUH LANGKAH CEGAH KES JENAYAH DALAM KALANGAN RAKYAT

KERAJAAN PERLU BANGKIT PERKUKUH LANGKAH CEGAH KES JENAYAH DALAM KALANGAN RAKYAT

336
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sejak akhir-akhir ini terdapat banyak kes membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah sekali gus membimbangkan ibu bapa juga institusi pendidikan.

Insiden seperti kes rogol pelajar secara berkumpulan di Melaka, pembunuhan ibu dan anak di Pulau Pinang semalam, serta beberapa kes amang seksual di Kelantan bulan lalu jelas mencerminkan keperluan tindakan segera daripada kerajaan dan seluruh masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan Harmoni Komuniti Malaysia, Azran Deraman mencadangkan agar Kerajaan MADANI perlu bangkit memperkukuh langkah kesedaran dan pencegahan terhadap kes jenayah serta kejadian tragis yang menimpa rakyat sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata segelintir individu yang terbabit dalam kejadian seperti itu dipercayai berdepan masalah kemurungan dan gangguan mental.

“Faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya masalah ini ialah kesihatan mental yang terganggu serta pengaruh gejala sosial negatif sama ada melalui media sosial atau pendedahan terhadap budaya negatif yang dilihat setiap hari.

“Oleh sebab itu, Kementerian Pendidikan (KPM) atau pihak berkenaan perlu segera bangun daripada ‘tidur yang panjang’.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga perlu lebih peka serta aktif turun padang memantau keadaan hingga ke akar umbi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di samping itu jelasnya, Kementerian Komunikasi juga perlu cakna dalam menyampaikan maklumat berkenaan bahaya budaya negatif tersebut.

“Pada masa sama, ibu bapa, guru, pendidik, mahasiswa, pelajar, ketua komuniti dan penggerak masyarakat harus berganding bahu memastikan kejadian sebegini tidak berulang.

“Kerjasama serta permuafakatan semua pihak perlu dilaksanakan dalam skala jangka pendek, sederhana dan panjang agar satu noktah penamat terhadap masalah ini dapat dicapai segera,” ujarnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here