Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Program Pembentukan Karakter sebagai salah satu inisiatif utama di bawah Kurikulum Persekolahan 2027, dengan matlamat membentuk murid yang beradab, bertanggungjawab serta memiliki sahsiah unggul.
Dalam kenyataan media pada Jumaat, KPM menjelaskan bahawa program itu adalah anjakan strategik bagi memperkukuh pembangunan sahsiah dan nilai murni dalam kalangan murid secara lebih berstruktur dan menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan program berkenaan akan disesuaikan mengikut peringkat persekolahan.
“Bagi peringkat prasekolah, elemen pembentukan karakter akan diterapkan secara bersepadu melalui aktiviti pembelajaran harian.
“Sementara itu, bagi peringkat sekolah rendah dan menengah, KPM memperuntukkan 60 minit seminggu dalam jadual waktu persekolahan khusus untuk melaksanakan aktiviti pembentukan karakter secara terancang dan berfokus,”menurut kenyataan itu.
Program tersebut memberi penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran berasaskan aktiviti yang mendorong murid menghayati nilai murni, mengamalkan tingkah laku positif serta membentuk adab dan akhlak dalam kehidupan seharian.
KPM menegaskan, inisiatif ini mencerminkan komitmen kementerian untuk melahirkan generasi yang seimbang dan holistik, bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga sahsiah dan jati diri.
IMedikel TV






