KOTA BHARU: Lebih 500 pelajar Maahad Sains Tok Guru (MSTG) bersorak penuh semangat malam tadi apabila berpeluang menonton tayangan skrin besar perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Laos yang diadakan di dataran sekolah berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan, Nurdalila Mohamad Khali, berkata sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah dan pelajar membuktikan minat yang tinggi daripada golongan muda terhadap aktiviti sukan dan program kebersamaan seperti ini.
“Alhamdulillah, program tayangan skrin besar ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 500 pelajar.
“Kita amat menggalakkan program sebegini diteruskan di sekolah-sekolah lain kerana ia dapat menjadi platform sihat untuk anak muda berkumpul dalam suasana harmoni dan positif,” katanya.
Beliau turut berharap program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memupuk semangat kesukanan dan sokongan padu terhadap pasukan negara.
“InsyaAllah, kita akan teruskan lagi program seumpama ini dengan sokongan semua pihak. Diharapkan sambutannya akan lebih meriah dan semoga Malaysia layak ke Piala Asia nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Maahad Sains Tok Guru, Kamarjan Abdul Rahman, menzahirkan penghargaan kepada JBS Negeri Kelantan kerana memilih sekolah berkenaan sebagai lokasi tayangan.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk berehat dan beriadah selepas penat belajar.
“Kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak JBS Negeri Kelantan bagi penganjuran aktiviti seperti ini pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, dengan jumlah pelajar sekitar 520 orang, program itu bukan sahaja memberi hiburan sihat, malah membantu meningkatkan semangat kesukanan dan disiplin dalam kalangan pelajar lelaki.
“Memandangkan sekolah ini khusus untuk pelajar lelaki mereka memerlukan aktiviti berbentuk sukan bagi melepaskan tekanan belajar dan membina semangat berpasukan. Kami amat mengalu-alukan sekiranya program seperti ini dikembangkan lagi,”katanya.
Program anjuran JBS Negeri Kelantan itu bertujuan menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar selain menjadi platform membina semangat kebersamaan dan mengelakkan remaja terbabit dengan aktiviti tidak sihat.