Home Buletin Semasa CADANGAN PESARA TENTERA, BADAN BERUNIFORM JADI WARDEN DAPAT PELBAGAI REAKSI

CADANGAN PESARA TENTERA, BADAN BERUNIFORM JADI WARDEN DAPAT PELBAGAI REAKSI

306
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Cadangan melantik pesara tentera atau badan beruniform sebagai warden asrama sekolah mendapat pelbagai reaksi masyarakat susulan kes buli yang semakin berleluasa di institusi berasrama.

Tinjauan kru IMedikel TV di sekitar Pasar Siti Khadijah, di sini, mendapati orang ramai bersetuju langkah itu wajar dipertimbangkan bagi membendung gejala tersebut yang semakin membimbangkan.

Bagi pekerja swasta, Zuriyati Ibrahim, 50, langkah melantik pesara tentera atau badan beruniform sebagai warden disifatkan tepat kerana golongan itu lebih berdisiplin, tegas dan adil dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Kes buli sekarang memang teruk dan tidak masuk akal dengan tindakan pelajar yang semakin melampau, saya rasa kita perlu ambil pihak ketiga, bukan lagi dalam kalangan guru di sekolah terbabit.

“Guru sekarang kadang-kadang ada hubungan tertentu dengan pelajar, jadi mungkin pengawasan tak seimbang, kalau ambil pihak luar seperti pesara tentera, mereka akan anggap semua pelajar sama rata,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di sini, hari ini.

Zuryati turut mencadangkan supaya pemantauan dilakukan setiap jam, bagi memastikan sebarang insiden tidak diingini dapat dikesan lebih awal dan ditangani segera.

Bagaimanapun, ada juga yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana berpandangan guru paling sesuai memegang tanggungjawab sebagai warden.

Seorang bapa, Syed Amir Syed Shafei, 45, dari Ampang, berkata pendekatan disiplin oleh pesara tentera mungkin tidak sesuai diaplikasikan dalam suasana sekolah.

“Saya rasa lebih baik kita kembali seperti zaman 90-an, guru boleh merotan atau mendenda pelajar yang nakal.

“Memang saya tidak nafikan pelajar sekarang semakin berani dan kurang hormat kepada guru serta pihak sekolah,” katanya.

Syed Amir turut mencadangkan agar kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan asrama dan sekolah bagi membantu siasatan serta menjadi bukti jika berlaku sebarang insiden buli.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here