Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG:Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas hampir 10,000 unit rokok elektronik (vape) bernilai lebih RM1.49 juta dalam satu operasi di Kampung Parit Air, di sini, pada Khamis.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan itu dilakukan kira-kira jam 6.30 petang menerusi Op Taring Wawasan, selepas pasukannya menahan sebuah lori yang disyaki membawa barangan larangan.
“Hasil pemeriksaan terhadap lori tersebut menemukan beberapa kotak dibalut dengan plastik kuning berisi 9,940 unit peranti rokok elektronik pelbagai perisa di bahagian belakang kenderaan,” katanya dalam hantaran Facebook, semalam.
Beliau berkata, semua peranti rokok elektronik itu disyaki tidak mematuhi standard Malaysia di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) kerana tidak mempunyai sijil serta cap MS SIRIM yang mana setiap peranti rokok elektronik hendaklah mempunyai sijil dan cap MS SIRIM sebelum dibenarkan penjualan.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek dipercayai menjadi penghantar barangan tersebut untuk pasaran tempatan. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.49 juta,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata, barangan rampasan dan suspek diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(2)(a) Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022.
IMedikel TV






