Home Buletin Semasa CUBAAN SELUDUP 1,000 LITER DIESEL GAGAL

CUBAAN SELUDUP 1,000 LITER DIESEL GAGAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Meskipun Kerajaan sudah memastikan manfaat bahan api dinikmati rakyat yang layak, namun masih ada pihak tidak bertanggungjawab dikesan cuba mengambil kesempatan apabila cuba menyeludup minyak diesel ke negara jiran.

Namun tindakan pantas sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan itu menerusi Op Taring Wawasan di Kampung Dangar, di sini, kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya.

“Pihak kami cuba menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan, namun suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan kenderaan di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 40 tong jerikin berisi minyak diesel dianggarkan 1,000 liter, dipercayai cuba diseludup ke Thailand,”katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM42,900, termasuk kenderaan yang digunakan dalam kegiatan itu.

Kesemua rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here