Home Luar Negara 3 KAPAL FLOTILLA KE GAZA DIPINTAS ISRAEL

3 KAPAL FLOTILLA KE GAZA DIPINTAS ISRAEL

KAHERAH: Penganjur misi konvoi kemanusiaan baharu yang membawa bantuan ke Gaza mendakwa tentera Israel memintas sekurang-kurangnya tiga kapal mereka hari ini.

“Tiga kapal iaitu Gaza Sunbirds, Alaa Al-Najjar dan Anas Al-Sharif diserang dan dipintas secara haram oleh tentera Israel,” kata kenyataan Global Sumud Flotilla menerusi platform X.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, katanya, kejadian berlaku awal pagi pada jarak kira-kira 220 kilometer (140 batu) dari pesisir Gaza.

Menurut kumpulan itu lagi, sebuah lagi kapal bernama Conscience yang membawa lebih 90 wartawan, doktor dan aktivis turut diserang.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan mengesahkan tindakan memintas beberapa kapal yang cuba memasuki Gaza.

“Satu lagi cubaan sia-sia untuk menembusi sekatan laut yang sah dan memasuki zon pertempuran berakhir tanpa hasil. Kapal serta penumpangnya kini dibawa ke pelabuhan Israel,” katanya menerusi media sosial.

Semua penumpang dilaporkan selamat dan berada dalam keadaan sihat dengan pihak berkuasa menjangkakan kesemua mereka akan dihantar pulang dalam masa terdekat.

Menurut Freedom Flotilla Coalition, kapal berkenaan membawa bekalan bantuan penting bernilai lebih AS$110,000 (RM519,000) termasuk ubat-ubatan, peralatan pernafasan dan bekalan nutrisi untuk hospital di Gaza yang kini kekurangan sumber.

Israel sebelum ini beberapa kali menghalang flotilla bantuan antarabangsa daripada memasuki wilayah Palestin yang dilanda perang, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kebuluran semakin memburuk.

Minggu lalu, pasukan tentera laut Israel turut menghentikan satu lagi flotilla Global Sumud yang membawa kira-kira 45 kapal dengan penyertaan ahli politik dan aktivis, termasuk sukarelawan alam sekitar Sweden, Greta Thunberg.

Tindakan itu mencetuskan gelombang bantahan besar-besaran di seluruh Eropah. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here