KUALA LUMPUR: Selain muka ditumbuk dan rambut ditarik dengan kasar oleh tentera Israel, suami Ardell Aryana, iaitu Nadzmi Adhwa memberitahu bahu isterinya cedera.
Memetik laporan Berita Harian, melalui perkongsian Threads, malam tadi, Nadzmi berkata, tisu bahu isterinya koyak.
“Ada lagi kecederaan pada bahu Ardell! Bahu dia koyak! Allahuakbar! Apa ini,” luahnya.
Semalam, Nadzmi meluahkan rasa marah atas tindakan tentera rejim Israel yang merentap tudung isterinya ketika ditahan.
Sementara itu, abang kepada Ardell, yang dikenali sebagai Ayib turut berkongsi mengenai keadaan kesihatan Ardell menerusi siaran langsung di TikTok, semalam.
Ayib berkata, Ardell Aryana atau nama sebenar, Nurul Hidayah Mohd Amin, sedang dirawat dan keadaan kesihatannya kurang baik.
“Keadaan Ardell tidak berapa okay. Dia sedang dirawat. Badannya lebam-lebam dan tisu bahunya koyak. Doktor hendak periksa darah pun tidak dapat sebab darah tak keluar.
“Ardell diberi ‘drip’ dan dimasukkan ubat,” katanya.
Semalam, Ardell dan seorang lagi aktivis kemanusiaan dari Malaysia, iaitu Haikal Abdullah yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), dilaporkan dihantar ke sebuah hospital di Istanbul untuk menerima rawatan lanjut.
Perkara itu dimaklumkan peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin. Fahmi yang adalah antara lima barisan peguam mewakili 23 sukarelawan Malaysia dalam misi GSF.
Fahmi dilapor mendedahkan Ardell dan Haikal antara aktivis yang diperlakukan dengan kekerasan oleh rejim Zionis ketika ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu, sebelum dibawa ke penjara Ketziot yang terletak di padang pasir Negev. – BH Online –
IMedikel TV






