Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Dua lelaki tempatan didenda keseluruhan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini semalam selepas didapati bersalah membenarkan imigran haram tinggal di premis masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan oleh Unit Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan dalam kenyataan berkata tertuduh pertama didakwa membenarkan seorang lelaki warga Pakistan masuk dan tinggal di premis miliknya.
“Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63. Mahkamah menjatuhkan denda sebanyak RM5,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tertuduh kedua pula didakwa melakukan kesalahan sama apabila membenarkan tiga lelaki warga Bangladesh tinggal di premisnya. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar.
“Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan,” katanya.
Menurut Mohamed Yusoff, semasa operasi dijalankan di kedua-dua premis, pihaknya mendapati semua warga Pakistan dan Bangladesh terbabit tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas dan ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, tujuh lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta dua lelaki warga Bangladesh turut didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama selepas disabit kesalahan.
“Mereka dikenakan hukuman penjara lima bulan dari tarikh tangkap,” katanya.
Sementara itu, 16 lagi lelaki warga Bangladesh turut didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c).
“Daripada jumlah itu, dua lelaki dikenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara lima bulan, manakala 14 lagi dijatuhi hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkap,” katanya.
JIM menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI.
IMedikel TV






