Home Buletin Semasa SKPS, BUDI95 BERJALAN LANCAR DI SARAWAK – KPDN

SKPS, BUDI95 BERJALAN LANCAR DI SARAWAK – KPDN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUCHING: Pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Subsidi BUDI95 yang bermula semalam berjalan lancar di Sarawak selepas pemeriksaan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata pihaknya melaksanakan walkabout di beberapa stesen minyak terpilih bagi memastikan sistem berkenaan berfungsi dengan baik serta mendapat kerjasama penuh pengusaha stesen minyak.

“Hasil pemeriksaan mendapati stesen minyak memberikan kerjasama yang baik dan sistem transaksi SKPS dan BUDI95 berfungsi dengan lancar. Pihak KPDN akan terus memantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan program ini kekal teratur,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, pelaksanaan SKPS adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada syarikat berdaftar dengan SKPS, manakala BUDI95 membolehkan individu layak menerima subsidi menggunakan MyKad.

Matthew turut menegaskan bahawa KPDN Sarawak akan memastikan semua pengusaha stesen minyak mematuhi garis panduan ditetapkan serta membantu menyampaikan maklumat dan tatacara yang betul kepada pengguna.

“Walkabout berkenaan juga memberi peluang kepada pihak KPDN mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan pengusaha stesen minyak mengenai keberkesanan pelaksanaan program SKPS dan BUDI95,”katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah KPDN Sarawak, Mohd KhairiJamaludin; Ketua Sektor Operasi KPDN Sarawak, Thomas Chua Kee Chuan; wakil-wakil stesen minyak serta pegawai kementerian.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here