Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) melaksanakan pelupusan secara musnah rokok elektronik atau vape yang dirampas hasil operasi sitaan dalam kawasan pentadbirannya, pada Selasa.
Menurut Yang Dipertua MDTM, Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin larangan penjualan rokok elektronik dan vape sudah berkuat kuasa di Kelantan sejak 2015.
“Sepertimana semua sedia maklum bahawa larangan penjualan rokok elektronik atau vape di Negeri Kelantan juga telah berkuatkuasa sejak tahun 2015.
“Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan supaya mereka yang terbabit dengan aktiviti penjualan cecair vape dan peranti rokok elektronik supaya menghentikan segera penjualan produk berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
MDTM menegaskan, operasi penguatkuasaan larangan tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penjualan rokok elektronik di daerah berkenaan.
Majlis pelupusan tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood bersama Ahli-ahli Majlis MDTM, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Setiausaha Majlis dan kakitangan MDTM.
IMedikel TV






