Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dengan cip rosak boleh menukar secara percuma bermula hari ini hingga 7 Oktober depan di semua pejabat dan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan itu diberikan seiring pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan inisiatif Budi Madani (BUD195) bagi memastikan kelancaran rakyat menikmati manfaat subsidi bersasar.
“Kerajaan Madani menanggung sepenuhnya kos penukaran ini agar akses rakyat kepada subsidi tidak terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad.
“Setiap warganegara yang layak berhak mendapat manfaat dengan lancar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya mengikut rekod JPN, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad kategori cip atau kad rosak direkodkan dari Januari hingga Ogos lalu.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak sejak tiga bulan kebelakangan, iaitu 32,819 permohonan pada Jun, 40,371 pada Julai, dan melonjak kepada 45,411 pada Ogos.
“Bagi September, sehingga 21 haribulan sahaja, JPN sudah menerima 22,858 permohonan penggantian cip rosak.
“Berdasarkan purata dua bulan terkini, kira-kira 43,000 permohonan direkodkan sebulan, dengan anggaran kos keseluruhan kepada kerajaan sebanyak RM714,660 termasuk kos berkaitan,”katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar memastikan MyKad sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUD195.
“Kerajaan Madani berpegang teguh kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat Malaysia menerima manfaat yang dijanjikan tanpa ada yang tercicir,” katanya.
IMedikel TV






