Home Buletin Semasa TENGKU MAHKOTA KELANTAN BERKENAN RASMI SAMBUTAN HARI KONSERVASI EKOSISTEM HUTAN PAYA LAUT...

TENGKU MAHKOTA KELANTAN BERKENAN RASMI SAMBUTAN HARI KONSERVASI EKOSISTEM HUTAN PAYA LAUT ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut serta pesisiran pantai secara lebih lestari.

Menteri Perladangan dan Komoditi memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sehingga September tahun ini sebanyak 9 juta pokok bakau dan spesies sesuai ditanam di kawasan seluas 3,820 hektar di pesisiran pantai negara.

“Komitmen itu adalah kesinambungan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara yang digerakkan selepas peristiwa tsunami 20 tahun lalu,”katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr. Ching Thoo Kim sempena Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Padang Kemahkotaan Pantai Ndo, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut Johari, usaha tersebut diperhebat dengan hasil lebih 120 kajian penyelidikan yang menjadi rujukan utama serta penglibatan aktif 13 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersama komuniti setempat sekali gus membuka peluang ekonomi baharu menerusi perikanan, industri arang kayu, eko-pelancongan serta produk berasaskan hutan paya laut.

“Pelaksanaan program pemuliharaan hutan paya laut dan pesisiran pantai juga membuahkan kejayaan yang signifikan di seluruh negara terutama dari segi peningkatan taraf hidup serta pembangunan ekonomi penduduk setempat dan sektor pelancongan negara.

“Antara kejayaan yang direkodkan termasuk Delta Kelantan di Pantai Senok yang kini menjadi destinasi eko-pelancongan, industri arang kayu di Larut Matang, Perak yang menyumbang kepada ekonomi negara, serta pusat pembelajaran dan penyelidikan di Kuala Selangor.

“Peluang ekonomi turut diwujudkan di Pulau Ketam, Perlis manakala tiga kawasan di Sarawak digazetkan sebagai kawasan perlindungan penuh dengan impak ekonomi melebihi RM3 juta setahun,”katanya.

Di Sabah pula, beliau berkata projek penanaman sejak 2006 menjadi sumber rezeki makanan laut kepada masyarakat setempat.

Terdahulu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan merasmikan program itu dan melancarkan Buku Mewah Mangrovers: Beyond The Treasures serta berkenan menanam sepohon pokok paya bakau sebagai simbolik.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here