GUIJUELO, Sepanyol: Pelumba Belgium, Jasper Philipsen mencatat kemenangan ketiga pada edisi Vuelta a Espana kali ini selepas memecut menamatkan peringkat ke-19, manakala pendahulu keseluruhan Jonas Vingegaard menambah empat saat kelebihan ke atas Joao Almeida, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, selepas menempuh 160 kilometer laluan landai di bahagian tengah barat Sepanyol, pelumba Alpecin-Deceuninck itu meluru ke depan menjelang garisan penamat dan tidak mampu dipintas.
Pelumba Denmark, Mads Pedersen (Lidl-Trek) yang terlebih dahulu melakukan pecutan terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala Orluis Aular dari Venezuela (Movistar) menamatkan saingan di tempat ketiga.
Vingegaard (Visma–Lease a Bike) pula selamat menamatkan perlumbaan dalam kelompok utama, namun berjaya mencuri empat saat bonus pada pecutan pertengahan di Salamanca, 60km sebelum garisan penamat apabila Almeida leka.
Esok, peringkat ke-20 yang juga peringkat kedua terakhir, dijangka menjadi ujian sebenar dengan laluan pergunungan mencatat lebih 4,000 meter pendakian, peluang terakhir buat Almeida untuk mengejar Vingegaard.
Bagi Philipsen, kemenangan kali ini menamatkan penantian sejak kejayaannya di peringkat kelapan di Zaragoza, sekali gus membuktikan keampuhannya dalam pecutan berbukit selepas dibantu dengan sempurna oleh pasukan.
“Ia penamat yang benar-benar sukar dan selepas 11 hari tidak memecut sejauh ini, memang terasa sakit. 250 meter terakhir agak rata, tetapi sebelum itu pasukan melakukan tugas yang luar biasa.
“Saya agak bergelut di pertengahan, tetapi saya terus memaksa diri dan sebaik melihat garisan penamat, ia satu kelegaan besar. Kami akan cuba ulanginya Ahad ini. Ia tiga minggu yang amat mencabar,” kata Philipsen kepada TNT Sport.
Vingegaard yang kini semakin hampir melengkapkan gelaran sulung Vuelta selepas dua kali menjuarai Tour de France, sebelum ini kehilangan beberapa saat pada ujian masa Khamis lalu namun kembali menjarakkan diri dengan serangan taktikal di Salamanca. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






