Home Buletin Semasa EKSPRESI ANAK MALAYSIA SASAR 5,000 ANAK MUDA PELBAGAI ETNIK SEMARAKKAN PERPADUAN

EKSPRESI ANAK MALAYSIA SASAR 5,000 ANAK MUDA PELBAGAI ETNIK SEMARAKKAN PERPADUAN

182
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Program Ekspresi Anak Malaysia, 1 Suara, 1000 Warna menyasarkan penyertaan hampir 5,000 anak muda pelbagai etnik dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Pengarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, Raja Izuddin Raja Ahmad, berkata program itu menghimpunkan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India melalui persembahan tarian tradisional masing-masing.

“Mereka datang daripada latar etnik berbeza, namun bersatu sebagai satu suara. Kita mahu anak muda menghayati pengorbanan pejuang terdahulu dalam menuntut kemerdekaan selain meraikan semangat perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ekspresi Anak Malaysia, 1 Suara, 1000 Warna, di KPTM Kota Bharu, di sini, hari ini.

Jelasnya, meskipun Kelantan dihuni masyarakat berbilang bangsa, rata-rata mereka tetap menggunakan dialek sama dalam komunikasi harian, melambangkan keunikan hubungan kaum di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Harmoni Komuniti Malaysia, Azran Deraman, berkata program yang berlangsung selama dua hari itu dengan pemilihan lokasi berdasarkan kepelbagaian masyarakat, kaum dan etnik di negeri ini.

“Sepanjang program, pelbagai pengisian disediakan termasuk persembahan seni budaya rakyat, sesi perkongsian etnik, bual bicara perpaduan anak Malaysia bersama Mek Kelate dan lain-lain lagi,” katanya.

Jelasnya, secara tidak langsung, ia dapat menyerlahkan nilai perpaduan agar lebih difahami masyarakat berbilang kaum.

Program tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Harmoni Komuniti Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan KPTM Kota Bharu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here