KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya kemungkinan tampil berbeza pada perlawanan persahabatan kedua menentang Palestin selepas barisan kejurulatihan akan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama demi memastikan keputusan positif memihak kepada pasukan negara.
Memetik laporan Harian Metro, jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memberi bayangan itu dalam usaha mencatatkan kemenangan selepas kali terakhir menundukan pasukan di ranking 98 dunia itu pada 2001.
“Ya, sudah tentu. Saya rasa akan ada beberapa perubahan. Sedikit penggiliran dan kita akan lihat,” katanya.
Selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Singapura di Bukit Jalil, Khamis lalu, fokus skuad kebangsaan kini beralih kepada usaha memperkemaskan corak permainan sebelum menghadapi tugasan penting pada Oktober.
Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo muncul penyelamat dalam aksi pertama, namun kali ini Cklamovski mahu memberi ruang kepada beberapa pemain lain untuk membuktikan kemampuan mereka.
Selain itu, menurut pengendali dari Australia itu, setiap pertukaran akan diteliti pada sesi latihan terakhir malam ini bagi memastikan keseimbangan pasukan tetap terjaga.
“Kita masih ada satu lagi sesi latihan untuk dilalui yang mana sangat penting dan siapa pun yang bermain, saya berpegang kepada falsafah ini,” jelasnya.
Bagi Cklamovski, tidak kira siapa yang diturunkan, yang lebih utama adalah memastikan Harimau Malaya terus konsisten dengan gaya permainan sendiri.
“Yang penting kita bermain bola sepak kita sendiri. Kita fokus pada apa yang penting untuk kita sebagai satu pasukan,” katanya lagi.
Beliau juga melihat aksi berdepan Palestin sebagai medan terbaik buat pemain menimba pengalaman menentang lawan yang lebih fizikal serta berkualiti.
“Kita berpeluang mencabar diri menentang lawan yang kuat. Jadi siapa pun yang beraksi, mereka akan meraih peluang untuk memakai jersi sekali lagi dan mengharumkan nama negara,” katanya.
Namun, Malaysia tetap berdepan cabaran apabila kehilangan khidmat tiga tonggak utama membabitkan Dion Cools, Facundo Garces dan Faisal Halim yang tidak bersama pasukan di Johor.
Perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A itu dijadualkan bermula jam 9 malam di Stadium Sultan Ibrahim, venue keramat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijangka meriah dengan sokongan padu penyokong tempatan.- HMetro Online –
IMedikel TV






