MIAMI: Penyerang Inter Miami, Luis Suarez digantung enam perlawanan Piala Liga selepas didapati meludah ke arah staf Seattle Sounders ketika kekecohan tercetus pada final kejohanan itu.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Seattle menjuarai edisi kali ini selepas menundukkan Miami 3-0, namun insiden panas tercetus sejurus wisel penamat dengan Suarez terbabit sebagai individu utama.
Selain Suarez, rakan sepasukan Sergio Busquets digantung dua perlawanan manakala pertahanan Tomas Aviles menerima hukuman tiga perlawanan. Pembantu jurulatih Seattle, Steven Lenhart pula digantung lima perlawanan kerana bertindak ganas.
Hukuman ini hanya terpakai untuk aksi Piala Liga, namun Major League Soccer (MLS) masih berhak menjatuhkan tindakan lanjut. Miami dijadualkan menentang Seattle pada 16 September dalam aksi liga.
Suarez sudah tampil memohon maaf menerusi hantaran di media sosial, mengakui tindakannya berpunca daripada emosi dan rasa kecewa, selain menegaskan ia bukan imej yang ingin ditonjolkan kepada keluarganya, kelab serta penyokong.
Bintang berusia 38 tahun itu mempunyai sejarah kontroversi di atas padang, termasuk tiga kali digantung kerana menggigit lawan dan sekali atas dakwaan perkauman.
Musim ini, Suarez sudah meledak enam gol serta 10 bantuan jaringan dalam 22 aksi MLS, selain menyumbang tiga gol dan tiga bantuan dalam enam perlawanan Piala Liga. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






