Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengambil maklum berhubung kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer yang berlaku di Segamat, Johor pada jam 6.13 pagi, Isnin lalu.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), lokasi kejadian dikenal pasti pada koordinat 2.51° Utara, 102.76° Timur, iaitu kira-kira 5 kilometer barat Segamat. Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
JPPKK dalam kenyataan media semalam memaklumkan dua institusi pendidikan di bawah seliaannya iaitu Kolej Komuniti Segamat (KKS) dan Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2) turut menerima kesan susulan daripada gegaran tersebut.
“Hasil pemeriksaan awal pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Segamat di KKS mendapati terdapat keretakan kecil pada dinding dan beberapa ruang dalaman, namun tiada kerosakan pada struktur utama bangunan.
“Bagi langkah berjaga-jaga, KKS dibenarkan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian serta Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula semalam hingga esok. Siasatan forensik bangunan secara lebih terperinci akan dijalankan dalam masa terdekat oleh JKR daerah Johor Bahru,”menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pemeriksaan turut dilakukan di KKS2, khususnya di dua blok asrama yang menempatkan kira-kira 200 pelajar
Institusi tersebut juga diberi kebenaran untuk melaksanakan PdP secara dalam talian bagi tempoh sama, manakala pelajar diarah pulang buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja pemeriksaan lanjut. Walau bagaimanapun, operasi pejabat KKS2 berjalan seperti biasa.
JPPKK dalam kenyataannya menegaskan akan terus memantau keadaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan kelancaran operasi kedua-dua institusi terbabit sentiasa terjamin.
IMedikel TV






