Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PENGKALAN KUBOR: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama seorang lelaki tempatan yang disyaki tekong ditahan dalam sebuah kenderaan oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am di pengkalan haram Kak Nah, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, tangkapan itu dilakukan kira-kira jam 7.10 petang menerusi Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki warganegara Nepal berada dalam kenderaan tersebut.
“Seorang daripadanya menunjukkan pasport tetapi tiada cop masuk ke Malaysia, manakala seorang lagi tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, lelaki tempatan yang juga pemandu kenderaan itu berusia 27 tahun ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 26(J) Akta ATIPSOM 2007.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek tempatan itu turut positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Sementara itu, dua PATI terbabit ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Katanya, kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.
IMedikel TV






