NEW YORK: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka memulakan misi mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan bergaya selepas menewaskan wakil Switzerland, Rebeka Masarova, 7-5, 6-1 pada pusingan pertama, awal pagi tadi.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, juara Grand Slam tiga kali itu mengatasi permulaan goyah apabila bergelut mencari rentak, sebelum bangkit menguasai set pertama dan kemudian meraih kemenangan mudah dalam set kedua sambil mendapat sokongan padu penyokong di gelanggang Arthur Ashe.
“Apabila saya memenangi set pertama dan anda bersorak untuk saya, meremang bulu roma saya.
“Sokongan anda sangat bermakna untuk saya, terima kasih kerana hadir. Suasananya sungguh luar biasa,” kata Aryna ketika ditemu bual di gelanggang.
Aryna diuji awal permainan apabila kehilangan servis selepas dua kesilapan pukulan ‘forehand’ berturut-turut, tetapi kembali merampas break selepas Rebeka melakukan double-fault.
Selepas memperlihatkan sedikit kekecewaan pada awal permainan, pilihan utama itu segera mengubah momentum pada set kedua dan menamatkan perlawanan untuk kemenangan kelapan berturut-turut di Flushing Meadows.
“Saya gembira dengan kemenangan ini dan gembira layak ke pusingan kedua. Saya rasa tidak bermula dengan baik pada awal permainan, tapi kemudian saya temui rentak.
“Saya suka berada dalam kedudukan juara bertahan. Bagi saya, itu satu motivasi, dan saya mahu melakukan yang terbaik.
“Saya mahu ulangi apa yang dicapai tahun lalu, saya mahu merasai emosi itu semula dan benar-benar bekerja keras untuk itu. Harap dapat mencapai sasaran saya di sini,” kata Aryna kepada wartawan.
Aryna akan menentang wakil Rusia, Polina Kudermetova pada pusingan kedua, Rabu ini. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






