Home Luar Negara CURIGA KOPI RACUN, MANGSA DUKUN TERSELAMAT

CURIGA KOPI RACUN, MANGSA DUKUN TERSELAMAT

JAKARTA: Perasaan curiga berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada menjadi mangsa pembunuhan dukun dikenali sebagai Ibin, di Warungpring, Kabupaten Pemalang di Jawa Tengah.

Menurut portal Kompas, mangsa hanya dikenali dengan inisial AE, 40-an, dilaporkan terselamat selepas menolak kopi beracun yang diberikan dan meminta supaya minumannya ditukar dengan kopi milik suspek.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Kasatreskrim) Polis Resor Pemalang, AKP Johan Widodo berkata, kejadian itu berlaku kira-kira setahun lalu.

“Dia menolak kopi daripada suspek ketika ritual berlangsung,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Jawa Tengah, baru-baru ini.

Menurutnya, permintaan AE supaya menukar kopi berkenaan menyebabkan Ibin berang hingga tercetus perkelahian.

“Selepas itu, suspek melarikan diri namun kakinya dilanggar kereta,” katanya lagi.

Sebelum ini, nama Ibin menjadi perhatian selepas terbabit dalam pembunuhan suami isteri, Muhammad Rosikhi dan Nur Azizah Turokhmah.

Mayat pasangan berkenaan ditemukan di bekas tapak pemecah batu di Warungpring pada 10 Ogos lalu.

Pengarah Siasatan Jenayah Polda (Polisi Daerah) Jawa Tengah, Kombes Pol Dwi Subagio, mengesahkan pasangan itu dibunuh selepas diberikan kopi bercampur racun.

“Status suspek adalah residivis (individu yang melakukan kesalahan berulang) dengan modus memperdaya mangsa kononnya boleh menggandakan wang,” katanya.

Residivis adalah individu yang melakukan kesalahan berulang.

Dwi berkata, suspek meminta mangsa melakukan ritual di lokasi sunyi pada waktu tengah malam sebelum dipaksa meminum kopi yang sudah dicampur racun kalium sianida atau potas.

Katanya, pasangan itu sebelum ini beberapa kali menagih wang lebih 2 juta rupiah (kira-kira RM580) yang kononnya boleh digandakan, namun tidak berhasil.

“Disebabkan mangsa terus menuntut wang mereka, suspek kemudian merancang ritual kopi beracun yang akhirnya meragut nyawa pasangan tersebut,” katanya.

Difahamkan, kesan racun itu boleh menyebabkan mangsa meninggal dunia dalam tempoh kurang dari tiga jam. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here