Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUCHING: Sebanyak 4,809 aduan berkaitan e-dagang direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sehingga 31 Julai 2025, menjadikan transaksi dalam talian kekal sebagai kategori aduan tertinggi sejak dua tahun kebelakangan ini.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, pada tahun 2024 sahaja sejumlah 10,486 aduan berkaitan urus niaga atas talian diterima, dengan kebanyakan membabitkan isu barang tidak diterima, tidak menepati spesifikasi, iklan mengelirukan, penjualan barangan tiruan, penggunaan identiti palsu oleh penjual serta kesukaran urusan dengan pembekal luar negara terutamanya berhubung pemulangan barangan dan tuntutan bayaran balik.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus (SLU) Semakan Semula Perundangan E-Dagang anjuran KPDN bersama pelbagai pemegang taruh termasuk wakil industri, platform digital, persatuan peniaga, pertubuhan pengguna, agensi kerajaan, pakar undang-undang dan ahli akademik peringkat negeri Sarawak, di sini, semalam.
“Sesi ini adalah siri ketiga selepas Putrajaya pada 17 Julai lalu dan Kota Kinabalu pada 9 Ogos lalu, sebagai sebahagian daripada Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang bermula sejak April 2024.
“Pendekatan konsultasi awam yang inklusif, telus dan berasaskan bukti adalah penting dalam memastikan kerangka perundangan e-dagang sentiasa relevan, seimbang dan responsif terhadap cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selain mendapatkan maklum balas mengenai semakan undang-undang sedia ada, sesi itu turut membentangkan dapatan kajian serta hala tuju cadangan perundangan baharu, menilai keberkesanan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 serta meningkatkan kesedaran mengenai jurang kawal selia dalam ekosistem e-dagang.
KPDN menegaskan, kerjasama erat semua pemegang taruh merangkumi agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan, penjual dalam talian dan pengguna adalah kunci untuk memperkukuh ekosistem e-dagang negara secara mampan.
Melalui SLU di Sarawak, KPDN menekankan kepentingan kerjasama semua pemegang taruh merangkumi agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan, penjual dalam talian dan pengguna dalam usaha memperkukuh ekosistem e-dagang negara secara menyeluruh dan mampan.
IMedikel TV






