LAUSANNE, Switzerland: Seorang pemandu kenderaan mewah di Switzerland berdepan hukuman denda sehingga 90,000 franc Switzerland (kira-kira RM470,000) selepas ditahan kerana memandu lebih 27 kilometer sejam (km/j) daripada had laju di Vaud.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, mahkamah memutuskan bahawa hartawan itu mesti membayar 10,000 franc Switzerland (kira-kira RM52,000) serta-merta, dan boleh dipaksa membayar selebihnya 80,000 franc Switzerland lagi (kira-kira RM417,000), jika dia ditahan kerana kesalahan sama dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Memetik lapor Independent, penalti besar itu mencerminkan sistem unik denda berasaskan kekayaan di Switzerland yang menyesuaikan hukuman denda mengikut pendapatan dan kedudukan kewangan seseorang individu.
Pemandu itu, seorang pesalah berulang dan antara individu terkaya di Switzerland ditahan di jalan raya bandar di kanton (wilayah atau negeri) Vaud , didenda berdasarkan pendapatan, harta, atau keadaan kewangan keseluruhan.
Pendekatan ini bukan unik untuk Switzerland, Jerman, Perancis, Austria, dan negara-negara Nordik juga mengeluarkan hukuman berasaskan kekayaan.
Ini bukan rekod tertinggi untuk Switzerland. Pada 2010, seorang pemandu Ferrari menerima saman AS$290,000 (kira-kira RM1.22 juta) kerana memandu laju di St Gallen.
Penalti yang besar untuk pesalah kaya ini dimungkinkan oleh rombakan undang-undang jenayah yang diluluskan oleh pengundi Switzerland tiga tahun sebelumnya. Ia membenarkan hakim mendasarkan denda pada pendapatan peribadi dan kekayaan untuk salah laku ringan.
Di bawah peraturan hari ini, individu miskin mungkin menghabiskan satu malam di penjara sebagai ganti denda, manakala golongan terkaya di negara Alpine yang kaya itu boleh dikenakan bayaran puluhan ribu.
Akhbar Switzerland, “24 Heures” pertama kali melaporkan kes itu dan berkata lelaki itu yang tidak dikenal pasti adalah seorang warga Perancis yang disenaraikan oleh majalah mingguan ekonomi Switzerland, Bilan, antara 300 orang terkaya di Switzerland dengan kekayaan mencecah ratusan juta dolar.
Akhbar harian itu melaporkan bahawa radar polis automatik merakam gambar pesalah itu memandu pada kelajuan 77 km/j di zon had laju 50 km/j. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






