Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Projek tanaman bawang di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, di sini, dianggarkan mengeluarkan hasil bawang sebanyak 18.4 tan.
Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria, berkata hasil itu membabitkan penanaman bawang merah varieti Baw 1 dan Baw 2 dengan keluasan tanah 4.6 hektar di TKPM Telong, Bachok.
“Kalau di kawasan TKPM sahaja 4.6 hektar. Jangkaan hasil kira-kira 18.4 tan menjelang hujung bulan Ogos,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penuaian bawang bagi Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan di TKPM Telong.
Hadir sama Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Beliau berkata projek itu membabitkan 10 penanam sejak Jun.
Katanya hasil tuaian bawang yang ditanam hanya mengambil masa 60 hari.
Jelasnya projek penamaman bawang itu juga akan diperluas ke jajahan lain termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli.
“Kami sasarkan sebanyak 100 tan metrik hasil tuaian dengan keluasan tanah 30 hektar di Kelantan membabitkan 52 penanam,”katanya.
NorBahani berkata hasil tuaian pertama itu akan disasarkan kepada pasaran tempatan termasuk ke pasar raya dan sebagainya.
“Untuk pengeluaran yang baru ini, kami bercadang untuk melakukan promosi dan memperkenalkan bawang daripada negeri Kelantan terlebih dahulu.
“Maknanya tuaian pertama ini apabila dapat hasil kita akan bekerjasama dengan pihak pasar raya untuk memperkenalkan produk ini di pasaran,”katanya.
Norbahani berkata pihaknya akan menyerahkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk dijual ke pasaran tempatan dari segi harga mengikut harga semasa.
IMedikel TV






